Thursday, September 15, 2011

Losing August

August was not an easy month.

.  .  .  .


Namanya Minah.

Ibu kepada empat idola, isteri kepada hero sanjungan.

Minatnya tak pernah padam untuk menjahit baju kurung si kecil setiap kali Raya menjelang. Satu rumah dihias dengan hasil tangan jahitan menggunakan mesin jahit zaman Jepun yang macam kayuh basikal. Bila dimakan usia, mata yang rabun tak mampu lagi mencucuk benang dalam jarum halus yang boleh kasi juling. Namun pabila si kecil dulu yang kini sudah besar 'passing' baju kurung lama jahitannya kepada si kecil yang baru, senyumannya cukup lebar melihatkan.

Tenaga empat kerat yang tinggal dialih kepada bercucuk tanam ubi keledek di tanah belakang rumah. Dapat ubi keledek gemuk debok, mula semangat tanam cili, sayuran, pendek kata dah tak payah pergi pasar. Hari hari nya diisi dengan menjaga keperluan tumbesaran tumbuhan tumbuhan yang ditanam.Tanya khabar si ubi sihat ker tidak lagi penting dari bertanya khabar dirinya. Senyumnya cukup lebar menceritakan.

Kari daging adalah masakan kegemarannya yang dinanti semua menjelang Raya, bersama ketupat palas yang dianyam sendiri. Air kopi hitam pekat cap Kapal diajar minum olehnya taktala umurku baru kenal Cornflakes itu adalah bijirin sihat. Starbucks tak mungkin dapat membandingi kewangian kopinya walaupun manis sampai sakit gigi. Melihat anak anak berkumpul menjamah juadah sama untuk meraikan perayaan sama setiap tahun, senyumannya cukup lebar menyediakan.

Rumah papan nya tempat kegemaran si kecil untuk berlari. Bila semua sebulat suara berlari kesana sini tidak tentu arah kononnya main polis sentri, sikit lagi nak runtuh rumah binaan suaminya. Lantang suara menghalang, kerana pada waktu yang sama cerita kegemaran Rosalinda sedang ditayangkan. Tak faham sepatah bahasa Sepanyol, disuruh suaminya terjemahkan. Tak konfiden dengan suami, disuruh si kecil menjelaskan kenapa si Rosalinda itu menangis. Masih tak faham, tapi senyumnya cukup lebar cuba memahami.

Raya kali ini si kecil yang kini sudah besar itu berangan nak menjahit. Fikirku mungkin ini minat yang disambung darinya. Sanggup nak bertarung dengan jarum halus untuk menyiapkan manik dalam kereta yang dipandu melebihi had laju. Sanggupku lagi kerana kepulanganku kali ini, untuk melihat senyumannya yang setia menanti.

Separuh perjalanan pulang ke rumah papan nya, separuh nafasku hampir hilang.
Kata Abah senyuman itu sudah tiada lagi, dia hanya menanti doa kami.

.  .  .

Sekujur tubuh tak bernyawa menyambut kepulangan kali ini.

Ciuman tangan diganti dengan ciuman di dahi buat kali terakhir.
   Belaian dan pelukan diganti dengan si cucu memandikan jenazahnya.
       Cerita khabarnya diganti dengan surah Yassin dan doa dari insan yang ditinggalkan.

.  .  .



Namanya Minah. 
Tokwan kepada si kecil yang kini sudah besar. 

Al-Fatihah.